Penjagaan kaki diabetes
Cara Jaga Kaki Pesakit Kencing Manis di Rumah
Checklist harian dan langkah mudah untuk anda, atau anak yang menjaga ibu bapa, supaya luka kecil tidak jadi diabetic foot ulcer.
Kenapa kaki pesakit kencing manis mudah luka?
Gula darah yang tinggi untuk tempoh lama boleh merosakkan saraf dan salur darah, terutamanya di kaki. Kesannya ada tiga:
- Kaki kebas (neuropathy). Pesakit tidak rasa sakit bila terpijak batu, kasut menggesel atau air terlalu panas. Luka boleh ada berhari-hari tanpa disedari.
- Peredaran darah kurang. Oksigen dan nutrien lambat sampai ke kaki, jadi luka lambat sembuh.
- Lebih mudah dijangkiti kuman. Luka kecil yang dibiarkan boleh menjadi jangkitan serius.
Sebab itu penjagaan kaki untuk pesakit kencing manis bukan soal kecantikan. Ia antara cara paling berkesan untuk elak luka kronik dan amputasi.
Dalam pengalaman jururawat kami mengendalikan wound care di wad ortopedik, banyak kes diabetic foot ulcer bermula dengan perkara yang nampak remeh: calar dari kasut baru, kuku dipotong terlalu dalam, atau lepuh yang dipecahkan sendiri. Hampir semuanya boleh dikesan awal jika kaki diperiksa setiap hari.
Checklist periksa kaki setiap hari
Ambil 2 minit setiap hari, contohnya selepas mandi atau sebelum tidur. Periksa kedua-dua kaki, termasuk tapak kaki dan celah jari. Jika pesakit susah hendak tunduk, guna cermin atau minta ahli keluarga tolong.
Periksa kaki setiap hari. Cari:
- Luka, calar atau rekahan kulit
- Kemerahan atau kulit terasa panas
- Bengkak pada kaki atau buku lali
- Lepuh (blister)
- Kalus atau mata ikan yang menebal
- Kuku tumbuh ke dalam atau bertukar warna
- Celah jari lembap, putih atau mengelupas
- Kulit bertukar warna gelap, biru atau hitam
- Darah atau cecair pada stoking
- Bau yang luar biasa
Jumpa sesuatu yang baru? Jangan tunggu ia hilang sendiri. Tunjuk kepada doktor atau nurse.
8 langkah jaga kaki pesakit kencing manis di rumah
-
Periksa kaki setiap hari
Guna checklist di atas. Buat pada waktu yang sama setiap hari supaya jadi rutin. Untuk ibu bapa yang sudah berumur, ini tugas yang baik untuk anak atau cucu.
-
Cuci dengan air suam, kemudian lap betul-betul kering
Cuci kaki setiap hari dengan air suam suam kuku dan sabun lembut. Uji suhu air dengan siku atau tangan, bukan dengan kaki, sebab kaki yang kebas tidak dapat rasa air terlalu panas. Lap kering perlahan-lahan, terutamanya celah jari, untuk elak jangkitan kulat.
-
Sapu losyen pada kulit kering, tapi bukan di celah jari
Kulit tumit yang kering mudah merekah dan menjadi pintu masuk kuman. Sapu losyen atau krim pelembap nipis pada tapak dan atas kaki. Elakkan celah jari kerana kawasan lembap mudah dijangkiti kulat.
-
Potong kuku lurus, jangan terlalu pendek
Potong kuku selepas mandi ketika kuku lebih lembut. Potong lurus dan kikir bucu yang tajam. Jangan korek tepi kuku. Jika penglihatan kurang jelas atau kuku tebal, minta bantuan keluarga atau klinik.
-
Jangan berkaki ayam, walaupun dalam rumah
Pakai selipar lembut di dalam rumah dan kasut bertutup di luar. Lantai panas, jarum peniti, serpihan kaca atau mainan cucu boleh menyebabkan luka yang tidak dirasa.
-
Pilih kasut dan stoking yang betul
Kasut patut selesa, cukup ruang untuk jari dan tidak menggesel. Raba bahagian dalam kasut sebelum pakai untuk pastikan tiada batu atau objek tajam. Pakai stoking bersih, tanpa jahitan kasar dan getah yang tidak terlalu ketat. Kasut baru: pakai sekejap-sekejap dulu dan periksa kaki selepasnya.
-
Kawal gula darah dan gerakkan kaki
Gula darah yang terkawal membantu saraf, salur darah dan proses penyembuhan. Ambil ubat seperti yang diarahkan doktor, jaga pemakanan, dan berhenti merokok. Bila duduk lama, gerakkan buku lali dan jari kaki beberapa kali untuk bantu peredaran darah.
-
Buat pemeriksaan kaki dengan doktor secara berkala
Minta doktor atau klinik kesihatan periksa kaki sekurang-kurangnya setahun sekali, atau lebih kerap jika pernah ada luka, kebas teruk atau masalah peredaran darah. Pemeriksaan ini boleh kesan risiko sebelum luka berlaku.
Perkara yang jangan buat
Tanda bahaya: bila perlu jumpa doktor segera
Pergi ke klinik atau hospital secepat mungkin jika ada:
- Demam atau menggigil
- Kemerahan yang semakin merebak dari kawasan luka
- Bengkak, panas atau sakit yang bertambah
- Nanah atau cecair keruh
- Bau busuk dari luka
- Kulit atau tisu bertukar hitam atau biru
- Luka yang tiada perubahan atau makin besar selepas beberapa hari
Untuk kecemasan, hubungi 999 atau terus ke Jabatan Kecemasan.
Jika sudah ada luka, apa yang perlu dibuat?
Langkah awal di rumah sementara mendapatkan pemeriksaan:
- Basuh tangan dahulu.
- Bersihkan luka perlahan-lahan dengan normal saline atau air bersih.
- Tutup dengan dressing steril. Jangan biar luka terdedah.
- Kurangkan tekanan pada kawasan luka. Elak berjalan jauh dan pakai kasut yang tidak menekan luka.
- Dapatkan pemeriksaan doktor atau nurse, terutamanya untuk luka di tapak kaki.
Mitos biasa: "biar luka kering, nanti cepat sembuh." Sebenarnya luka sembuh lebih baik bila ia bersih, bertutup dan lembap pada tahap yang sesuai. Inilah prinsip modern dressing yang digunakan di hospital untuk diabetic foot ulcer dan luka kronik.
Sukar membawa ibu bapa ke klinik setiap kali tukar dressing?
Jururawat LukaCare datang ke rumah untuk rawatan luka menggunakan modern dressing, termasuk diabetic foot ulcer, luka kronik dan luka selepas pembedahan. Harga tetap, termasuk pengangkutan dalam kawasan liputan:
| Rawatan luka kecil (bawah 5 cm) | RM100 |
| Rawatan luka sederhana (5 hingga 10 cm) | RM150 |
| Rawatan luka besar (lebih 10 cm) | RM200 |
| Tambahan: deslough, prosedur atau produk dressing tambahan | +RM30 |
Kawasan liputan: Utara (Perlis, Kedah, Kepala Batas, Butterworth, Seberang Jaya, Parit Buntar, Kuala Kangsar), Selangor dan KL (Klang, Shah Alam, KL, Cheras, Kajang, Putrajaya, Bukit Jalil, Rawang, Sg Buloh, Banting, Kuala Selangor) serta Johor Bahru.
Atau WhatsApp kami di 011-5944 2125.
Bukan servis kecemasan. Untuk kecemasan, hubungi 999 atau terus ke hospital. Rawatan di rumah tidak menggantikan pemeriksaan dan rawatan doktor.
Soalan lazim
Berapa kerap pesakit kencing manis perlu periksa kaki?
Setiap hari, sebaiknya pada waktu yang sama seperti selepas mandi atau sebelum tidur. Kaki juga perlu diperiksa oleh doktor atau klinik kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali, atau lebih kerap jika berisiko tinggi.
Boleh ke rendam kaki dalam air suam?
Tidak digalakkan rendam lama. Rendaman lama melembutkan kulit sehingga mudah luka, dan air panas boleh menyebabkan melecur tanpa disedari kerana kaki kebas. Cukup cuci dengan air suam suam kuku, uji suhu dengan siku atau tangan, kemudian lap kering termasuk celah jari.
Patut ke biar luka kaki kering terdedah?
Tidak. Luka sembuh lebih baik dalam keadaan bersih, lembap sederhana dan bertutup. Tutup luka dengan dressing steril dan dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin.
Bila luka kaki kencing manis perlu ke hospital?
Segera ke klinik atau hospital jika ada demam, kemerahan yang merebak, bengkak, nanah, bau busuk, kulit bertukar hitam atau biru, atau luka yang tidak menunjukkan perubahan dalam beberapa hari.
Boleh ke nurse datang rumah untuk cuci luka kaki kencing manis?
Boleh. LukaCare menyediakan jururawat yang datang ke rumah untuk rawatan luka menggunakan modern dressing, dengan harga dari RM100 termasuk pengangkutan dalam kawasan liputan. WhatsApp 011-5944 2125 untuk tempahan.
Artikel ini untuk pendidikan umum dan tidak menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Setiap pesakit berbeza. Jika ragu-ragu tentang keadaan kaki atau luka, dapatkan pemeriksaan doktor.